WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyatakan sebuah negara Palestin perlu ditubuhkan melalui rundingan dan bukannya menerusi usaha menjadikan Palestin anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kami sentiasa menjelaskan bahawa kami menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.

Beliau seterusnya berkata Setiausaha Negara AS Antony Blinken telah terlibat dalam "usaha diplomasi yang sangat intensif" sejak beberapa bulan lepas dengan tujuan menubuhkan sebuah negara Palestin dan memastikan jaminan keselamatan untuk Israel.

"Itu adalah sesuatu yang sepatutnya dilakukan melalui rundingan langsung dengan pihak-pihak (berkepentingan), sesuatu yang kami usahakan ketika ini dan bukannya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

Palestin menghantar surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memohon pertimbangan baharu terhadap permohonan keahliannya.

Palestin juga mengemukakan tawaran untuk menjadi anggota penuh PBB pada tahun 2011 tetapi gagal untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan daripada ahli Majlis Keselamatan.

-- BERNAMA